Pages

Salam Sejahtera

Blog ini adalah hasil nukilan dari pelajar-pelajar muzik SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia. Blog ini mengisahkan dan membincangkan mengenai salah satu muzik tradisional iaitu nobat. Ahli-ahli kami terdiri daripada Liew Siaw Wei, Mohamad Zulhilmi Bin Mohamad Nazer, Farah Che Hamri, Mohd Ashari Bin Jahani dan Muhammad Muizz Bin Mohamad Nizam.

Powerpoint Presentation Group Nobat !!!!


Nobat

Video Rakaman Di Istana Perak

Presentation Ahli Kumpulan Nobat

Friday, September 24, 2010

Nobat Negeri

NOBAT NEGERI PERAK

Nobat Negeri Perak mengandungi alat-alat berikut:
  • Gendang Nobat
Gendang Nobat ini biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu.
  • Nafiri
Nafiri digunakan dalam memulakan sesuatu lagu.
  • Gendang Nenghara
Gendang Nenghara ialah gendang yang membawa lagu.
  • Serunai
Serunai ialah alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan.
  • Gendang Penengkah
Gendang Penengkah ialah gendang yang memasuki irama ke dalam lagu.

Di antara senarai yang tersebut di atas Gendang Nobat adalah paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat dan menghormati jenazah. Keperingkatan kehormatan yang diberi adalah bergantung kepada bilangan alat-alat yang digunakan. Untuk Nobat Diraja Perak hanya lima daripada sembilan alat digunakan pada setiap masa.

Pemain-pemain alat Nobat adalah ahli daripada keluarga-keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur. Pada zaman dahulu kawasan Bilik Nobat dipagarkan dengan bulu ayam dan sesiapa yang mencerobohi kawasan ini akan dihukum dan didenda. Ketua Nobat diberi gelaran Toh Setia Guna dan pembantu Toh Setia Indera.

Mengikut Adat Istiadat Negeri Perak tiada Sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ianya ditabal dengan bunyian Nobat. Mengikut Adat Lembaga Negeri Perak menyatakan bahawa rangka yang digunakan di dalam membuat Gendang-gendang adalah berasal daripada Teras Kayu Jerun dan kulitnya adalah daripada Kulit Tumur. Walau bagaimanapun ini telah bertukar dan pembaharuan rangka ini sekarang diperbuat daripada kayu keras dan kulitnya adalah daripada kulit kambing.

Kumpulan Nobat memainkan lagu-lagu Nobat berikut:
  • RAJA BERANGKAT (GENDANG BERANGKAT)
  • PUTERI MANDI MAYANG
  • RAMA-RAMA TERBANG TINGGI
  • KUMBANG SI KUMALI (KUMBANG KEMBALI)
  • ARAK-ARAK ATANDIS (ENTEALS) (ARAK-ARAK UNTANDAI)
  • ALEH-ALEH PANJANG
  • ALEH-ALEH PANDAK
  • DANG GENDANG
  • LENGGANG CHE KOBAT
  • JONG BER-ALEH
  • ANAK RAJA MEMBASUH KAKI
  • GENDANG PERANG
  • NOBAT TABAL
  • NOBAT RAJA
  • NOBAT KHAMIS
  • NOBAT SUBOH
Nobat Diraja Perak dibunyikan untuk upacara atau tradisi yang berikut:
  • Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
  • Masa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.
    • Masa Tabal Pusaka 
    • Bersiram Tabal
  • Hari Meletak Kerja (Memulakan Kerja).
    • Hari meletak kerja menyambut perayaan ulangtahun Keputeraaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
    • Hari meletak kerja kerana perkahwinan atau berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.
    • Perarakan mengambil Air Bersiram Tabal dan Berlimau Besar (tertaklum kepada titah).
  • Istiadat di Balairong Sri Menyambut Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
  • Istiadat Menjunjung Duli.
  • Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak melawat keluar negeri (tertakluk kepada titah).
  • Mengiringi Jenazah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri ke makam Diraja.
  • Perkahwinan dan Berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
  • Istiadat Kebesaran negeri iaitu pada masa lawatan Raja-Raja negeri lain ke Negeri Perak.
  • Hendak memulakan Puasa pada bulan Ramadhan tiga petang berturut-turut iaitu pada 28, 29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.
  • Pada petang 24 Ramadhan menyambut malam 25 Ramadhan dan petang 26 Ramadhan hingga sampai petang malam Hari Raya Aidil Fitri.
  • Pada masa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersiram pada hari Raya Aidil Fitri dan pagi Aidil Adha.
  • Tiga petang berturut-turut hendak menyambut Hari Raya Aidil Adha, iaitu pada petang 7, 8 dan 9 Zulhijjah.
  • Menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke masjid kerana bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dan berangkat meninggal masjid.
  • Dalam Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tiga lagu Nobat dimainkan, iaitu, lagu "Raja Berangkat" semasa Seri Paduka Baginda berdua berangkat masuk ke Balirong Seri; lagu "palu" semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairong Seri; lagu "Raja Bertabal" selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja dan lagu "Raja Berangkat" sekali lagi apabila Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang dari Balairong Seri.

NOBAT NEGERI KEDAH

Alat-alat bunyian Nobat Negeri Kedah mengandungi seperti berikut:
  • Nahara iaitu dua buah gendang kecil.
  • Gendang Ibu dan Gendang Anak berukuran sederhana.
  • Nafiri iaitu Trumpet perak berukuran 83.8 sentimeter panjang.
  • Sebuah Gong yang tergantung.
  • Tongkat Cokmar Diraja iaitu Tongkat rotan panjang berbalut baldu.
Ketua Kumpulan Nobat bergelar Mahaguru. Mahaguru akan sentiasa bersama kumpulan muzik dengan memegang Tongkat Cokmar Diraja yang diperbuat daripada semambu (rotan Melaka) dan dibalut dengan kain kuning. Mahaguru iaitu Ketua Pemain juga dikenali atau bergelar Kalur Besar. Nobat hanya boleh dimainkan dengan titah Sultan, dan dalam istiadat Diraja seperti pertabalan, perkahwinan Diraja atau kemangkatan Diraja. Alat-alat Nobat hanya boleh dimain oleh pemain Diraja yang dipilih dari keluarga yang tertentu.

Telah dirawayatkan bahawa munculnya Nobat Kedah ini semasa hayat Nabi Allah Ibrahim Khalilullah yang mempunyai kebesaran dan kemuliaannya. Kemudian diperturunkan ke zaman Iskandar Dzulkarnain. Seterusnya diturunkan kepada semua Raja-Raja di Tanah Arab, sehinggalah ke negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ataillah Mohamad Shah I.

Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa masa pemerintahan Almarhum Sultan Ataillah Mohammad Shah, Raja Kedah yang Pertama, seorang saudara adindanya iaitu Tunku Mohammad Jiwa telah melawat ke negeri India. Semasa lawatan itu, baginda telah menyaksikan suatu persembahan bunyi-bunyian yang menarik sekali. Setelah diselidiki, baginda mendapat tahu persembahan itu ialah Nobat. Sekembalinya ke Kedah dipersembahkan perkara tersebut kepada Sultan Ataillah Mohammad Shah iaitu bunyi-bunyian yang menjadi kebesaran dan kemuliaan Maharaja Hindustan itu. Baginda Sultan kemudiannya berkenan mewujudkan satu kumpulan Nobat bagi menandakan kebesaran dan kemuliaan Sultan dan sekalian kerabatnya.

Nobat biasanya dimainkan:
  • Setiap kali sebelum masuk sembahyang.
  • Setiap hari Jumaat.
  • Istiadat Pertabalan Raja (Sultan).
  • Istiadat perkahwinan Sultan, Raja Muda dan Kerabat Diraja.
  • Nobat berjalan nobat berjalan naik ke lepau Sultan, Raja Muda dan Kerabat Diraja yang sudah berumahtangga.
  • Istiadat berjalan naik oleh serunai nobat iaitu satu sahaja ke lepau Menteri Tunggal dan Menteri Empat.
  • Kemangkatan Sultan, Raja Muda, Kerabat Diraja dan lain-lain.
  • Istiadat Menyambut Pembesar-pembesar luar negeri yang melawat Kedah.
  • Memberitahu mengenai petang menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
  • Menghormati dukacita gerhana matahari dan gerhana bulan.
Lagu-lagu Nobat yang biasa dimainkan ialah:
  • Lagu Raja Burung
  • Lagu Belayar
  • Lagu Gendering Perang
  • Lagu Mambang Berkayuh
  • Lagu Seratan
  • Lagu Hayat/Lagu Dewa Raja
  • Lagu Arak-Arak

Selain daripada lagu-lagu yang tersebut di atas lagu-lagu pilihan juga dimainkan seperti mengiringi BARISAN PEMERINTAH KEHORMAT ATAU JENAZAH DIRAJA. Lagu CENDERING PERANG dimainkan ketika Raja berangkat meninggalkan istana atau sekembali dari pengembaraan atau pelayaran. Lagu BERLIMAU pula dikhaskan semasa Raja Bersiram pada hari Istiadat Perkahwinan Diraja.

Dalam Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tiga lagu Nobat dimainkan, iaitu lagu "Raja Berangkat" sekali lagi dimainkan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berdua berangkat pulang dari Balairong Seri.

NOBAT NEGERI SELANGOR

Nobat yang digunakan dalam istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XI ialah Nobat Negeri Selangor. Nobat Negeri Selangor berasal dari Nobat Diraja Perak dan dipersembahkan untuk Upacara Majlis Istiadat tertentu iaitu Pertabalan Diraja, Perkahwinan Diraja, Majlis-majlis Rasmi Diraja dan Kemangkatan Diraja.
Nobat Negeri Selangot mengandungi:
  • Gendang Nobat (biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu)
  • Nafiri (digunakan dalam memulakan sesuatu lagu)
  • Gendang Nengkara (gendang yang membawa lagu)
  • Serunai (alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan)
  • Gendang Penengkah (gendang yang memasuki irama ke dalam lagu)

Gendang Nobat adalah alat yang paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat atau menghormati jenazah. Keperingkatan kehormatan yang diberi adalah bergantung kepada bilangan alat-alat yang digunakan.

Pemain-pemain alat nobat adalah terdiri daripada ahli keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur.
Kumpulan Nobat memainkan lagu-lagu berikut:
  • Raja Berangkat (Gendang Berangkat)
  • Puteri Mandi Mayang
  • Rama-rama Terbang Tinggi
  • Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
  • Arak-arak Atandis (Enteals)
  • Arak-arak Untandi
  • Aleh-aleh Panjang
  • Aleh-aleh Pendek
  • Dong Gendang
  • Lenggang Che Kobat
  • Jong Beraleh
  • Anak Raja Membasuh Kaki
  • Gendang Perang
  • Raja Bertabal (Nobat Tabal)
  • Nobat Khamis
  • Nobat Subuh

Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan disebelah pagi dan petang dan lagu Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadhan tiga petang berturut-turut, iaitu petang 28, 29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun. Dalam istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke XI yang lalu Nobat Negeri Selangor yang digunakan dalam istiadat tersebut telah memainkan tiga lagu Nobat. Lagu "Raja Berangkat" dimainkan semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairong Seri. Lagu "Menjunjung Duli" dimainkan semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairong Seri. Lagu "Raja Bertabal" dimainkan selepas Seri Paduka Baginda mengangkat Sumpah Diraja. Lagu "Raja Berangkat" dimainkan sekali lagi apabila Seri Paduka berdua berangkat pulang dari Balairong Seri.

NOBAT NEGERI TERENGGANU

Boleh dikatakan kebanyakan Negeri-Negeri Beraja di Malaysia menggunakan Nobat sebagai sebahagian daripada alat kebesaran Diraja. Demikian juga di Negeri Terengganu di mana Sultan yang memerintah menggunakan Nobat sebagai tanda alat kebesaran Diraja. Menurut cerita, Nobat Negeri Terengganu Darul Iman ini berasal dari Riau dan mula digunakan semasa pemerintahan Sultan Ahmad. Orang yang pertama sekali memnggunakan Nobat ialah Puteri Pulau Bentan iaitu isteri kepada Demang Lebar Daun atau Telani Bentan yang juga digelar dengan nama Tun Telanai.

Nobat Diraja mengandungi sebuah Gendang Saku yang dikenali sebagai Negara, dua buah Gendang Nobat, sebatang Nafiri, sepasang Kopak-Kopak dan sebatang Serunai. Nafiri ini diperbuat daripada perak manakala serunainya pula diperbuat daripada gading yang di bahagian hujung diperbuat daripada perak. Negara dan Gendang Nobat dimainkan oleh empat orang daripada keturunan Raja pada hari istiadat.

Nobat Negeri Terengganu mempunyai tiga belas buah lagu seperti berikut:
  • Lagu Iskandar Shah
  • Lagu Ibrahim Khalil
  • Lagu Seri Istana (Semang)
  • Lagu Anak Kuda Ragam/Raja Beradu
  • Lagu Seri Istana
  • Lagu Petang Khamis
  • Lagu Palu-Palu Melayu
  • Lagu Lapan
  • Lagu Petang Jumaat
  • Lagu Palu-Palu Nigiri
  • Lagu Petang Khamis Perak
  • Lagu Arak-Arak
  • Lagu Perang

Bagaimanapun daripada tiga belas lagu-lagu yang tersebut di atas hanya tiga lagu sahaja yang selalu dimainkan dalam istiadat di Singgahsana. Lagu-lagu yang berkenaan adalah seperti berikut:
  • LAGU ISKANDAR SHAH
  • LAGU IBRAHIM KHALIL
  • LAGU SERI ISTANA

Nobat Negeri Terengganu dimainkan pada tiap-tiap hari, pagi dan petang semasa berlangsung istiadat perkahwinan Diraja dan juga pada waktu-waktu tertentu. Nobat juga dimainkan pada tiap-tiap petang sebelum berbuka puasa pada bulan Ramadan dan petang Aidil Fitri dan Aidil Adha. Nobat turut dimainkan pada tiap-tiap petang Khamis malam Jumaat di Istana.

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah menerima kembali Nafiri asal istana Sutlan Terengganu yang telah dikembalikan oleh keluarga Tengku Hamid bin Tengku Mandur yang berasal dari Singapura pada 17 Mac 1990.

Sehingga kini Nobat Diraja Negeri Terengganu ini belum pernah dimainkan dalam Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.



No comments:

Post a Comment